MAJLIS PERASMIAN BUKU ISTANA PAHANG : THE PALACE OF PAHANG
Kuala Lumpur 11 Jan. - Majlis Perasmian Buku Istana Pahang : The Royal Palace of Pahang telah diadakan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) Kuala Lumpur. Majlis Pelancaran telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah. Hadir sama menyerikan majlis Menteri Pelancongan dan Kebudayaan YB Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, Menteri Besar Pahang, YB Dato' Sri Diraja Hj Adnan Hj Yaakob, YAM Tengku Puteri Seri Lela Manja, Tengku Dato' Hajjah Nong Fatimah binti Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Dato' Rashidi Hasbullah dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Dato' Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsuddin. Turut hadir Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia Dato' Nafisah binti Ahmad.
Buku Istana Pahang : The Palace of Pahang berkisarkan mengenai Istana Pahang sebagai sebuah monumen kebesaran raja-raja dan menjadi lambang kemegahan tamadun bangsa serta peradaban Melayu terbilang. Buku ini adalah hasil karya Orang Besar Istana Pahang, Datuk Sri halim Ibrahim dan Pensyarah Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dato' Dr Norhasni Zainal Abidin. Buku ini diterbitkan pada bulan Oktober 2017 dan mempunyai ketebalan 408 mukasurat. Buku ini boleh didapati di kedai buku terpilih pada harga RM500 setiap satu.
Dalam pada itu, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menyatakan kerajaan menyasarkan penerbitan negara mencapai 31,700 judul setahun menjelang 2020 berbanding 19,713 pada tahun 2017. Ini adalah seiring dengan jumlah penduduk pada masa kini iaitu sekitar 31.7 juta. Beliau juga berkata malan membaca dan kadar literasi menjadi faktor utama kemajuan industri buku dan penentu kejayaan Malaysia untuk mencapai sasaran Kota Buku Dunia pada tahun 2020. Seiring dengan hasrat tersebut beliau turut menzahirkan harapan agar kerjasama dengan kerajaan negari Pahang khususnya dalam usaha meningkatkan aktiviti penyelidikan bermutu tinggi sekaligus menyokong saranan DYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah sejajar dengan kempen Revisit Pahang 2018 iaitu kesinambungan program anjuran Kerajaan Negeri Pahang sempena Tahun Melawat Malaysia 2017.
Terdahulu, Tengku Abdullah dalam titah mewakili ayahandanya Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah-Musta'in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah menzahirkan rasa terharu dan berbangga dengan usaha yang telah dilakukan oleh semua pihak terutamanya Universiti Putra Malaysia (UPM).
Majlis diakhiri dengan lawatan ke tapak pameran Manuskrip Melayu Pahang Koleksi Perpustakaan Negara Malaysia.
Comments
Post a Comment