Skip to main content


SINGGAH SANTAI@PNM #Relakslah dulu siri 1
24 Februari 2018 - Program Singgah Santai @PNM # Relakslah Dulu siri 1, Perpustakaan Negara Malaysia merupakan aktiviti berskala sederhana yang merupakan jenama baru aktiviti galakan membaca (peringkat dalaman PNM) yang melibatkan kerjasama bahagian-bahagian perkhidmatan selaras dengan usaha memberi galakan kepada pengunjung untuk mengunjungi dan menggunakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan serta melibatkan diri dengan pelbagai aktiviti menarik yang mampu meransang perkembangan minda dan interaksi sosial mereka.
Objektif utama program ini diadakan adalah untuk menarik minat masyarakat untuk berkunjung ke perpustakaan dan sekaligus dapat merapatkan lagi hubungan antara perpustakaan dengan komuniti setempat bagi mewujudkan generasi yang membaca dan celik ilmu.
Singgah Santai @PNM #Relakslah Dulu siri 1 ini buat pertama kalinya menampilkan Program Night@Library yang telah disertai oleh 20 orang pelajar lelaki dari Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. Program ini menumpukan kepada pembangunan kendiri pelajar, motivasi dan persediaan ke alam pekerjaan. Pendekatan santai digunakan bagi membolehkan interaksi antara fasilitator dan pelajar berlangsung dengan baik sepanjang program tersebut yang bermula pada jam 5.00 petang 23 Februari 2018 (Jumaat) dan berakhir jam kira-kira 5.00 petang 24 Februari 2018 (Sabtu). 
Selain itu, program Singgah Santai pada kali ini turut membawa program kanak-kanak yang dianjurkan seperti Ceramah Biblioterapi: satu kaedah terapi buku melalui minda, Baby Lapsit, Warna-Warni Gong Xi Fa Cai, aktiviti bersama Planetirum Negara dan banyak lagi.
Majlis Pelancaran E-Buku Himpunan Komik Imuda juga telah diadakan bersempena program ini yang mana ia telah disempurnakan oleh YBhg. Dato` Nafisah binti Ahmad, Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia di Perpustakaan Negara Malaysia. Dalam majlis tersebut, Imuda, seorang pelakon, pelawak dan kartunis tanah air terkenal berkata bahawa beliau mula berkarya sebagai kartunis pada tahun 1979 untuk komik Gila-Gila. Himpunan komik-komik yang telah dihasilkan beliau hingga kini telah dikumpul dan diterbitkan sebagi buku elektronik. Usaha menerbitkan Himpunan Komik Imuda ini telah diusahakan oleh saudara Azmi Jaffri, Pengarah Urusan Seni Warisan Artistic (SWA). E-Buku Himpunan Komik Imuda boleh dikases mulai 1 Mac 2018 melalui rangkaian pangkalan data yang bekerjasama dengan SWA. Untuk maklumat lanjut, boleh layari http://seniwarisanartistic.com untuk maklumat lanjut. Perpustakaan Negara Malaysia melalui www.u-pustaka .gov.my turut akan menyediakan akses kepada komik ini pada masa akan datang
Program Singgah Santai @PNM # Relakslah Dulu siri 1, Perpustakaan Negara Malaysia seumpama ini telah memberi impak yang positif di kalangan pengunjung yang hadir dan secara menaikkan rating Perpustakaan Negara Malaysia khususnya dalam mempromosi perpustakaan sebagai gedung maklumat dan hiburan. Semoga Singgah Santai @PNM # Relakslah Dulu siri-siri akan datang akan terus mendapat sambutan yang menggalakkan.

Comments