TANGGUNGJAWAB SOSIAL KORPORAT CERIAKAN
PERPUSTAKAAN DESA RPA SAUK II
3 Februari 2018 - Perpustakaan Desa (PD) Taman
Rancangan Perumahan Awam (RPA) Sauk II, Kuala Kangsar, Perak merupakan perpustakaan
desa pertama di Malaysia yang dibina dengan reka bentuk terbaharu berkonsepkan
senibina Melayu dan bercirikan bangunan hijau. Sebagai contoh, perpustakaan ini
dibina dengan tingkap yang banyak untuk memastikan pengaliran udara yang bersih
dan semula jadi. Selain itu, terdapat juga tempat tadahan air hujan yang boleh
digunakan semula. Tambahan pula, perabot di dalamnya seperti kerusi panjang dan
sebagainya dibina dengan kayu untuk memperlihatkan keaslian seperti rumah tradisional
Melayu. Perpustakaan desa yang baharu
siap dibina ini telah pun mula beroperasi pada 1 Februari 2017 dengan kehadiran
pengunjung yang terdiri daripada penduduk di sekitar Sauk, Kuala Kangsar.
Pada tarikh 3 Februari
2018 yang lalu, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dibawah Bahagian Komunikasi
Korporat (BKK) juga telah berkesempatan melawat ke PD RPA Sauk II ini. Lawatan
tersebut bertujuan untuk menjalankan aktiviti tanggungjawab sosial korporat
(CSR) disamping beramah mesra dengan petugas dan masyarakat setempat menerusi
aktiviti yang dijalankan.
Memandangkan PD RPA Sauk
II ini merupakan tumpuan dan berperanan sebagai pusat maklumat masyarakat
setempat, keselesaan merupakan perkara utama yang perlu diambil kira. Bagi
membantu petugas PD RPA Sauk II dalam mengindahkan lagi persekitaran
perpustakaan, seramai tujuh orang kakitangan BKK serta tiga orang pelajar latihan industri
telah sama-sama menjalankan aktiviti gotong-royong mengindahkan lagi ruang
santai di bahagian bawah dan atas perpustakaan desa ini agar para pengunjung
berasa lebih selesa untuk mendapatkan maklumat secara santai. Ini selaras
dengan peranan perpustakaan desa ini yang merupakan titik sentuh utama bagi
menjana aktiviti ke arah pembangunan sosial masyarakat.Antara aktiviti yang dijalankan semasa program lawatan ini adalah melibatkan kerja-kerja menggantung mutiara
kata di ruang santai, memasang karpet, menyusun bean bag dan kusyen serta menjalankan aktiviti bersama-sama
kanak-kanak yang hadir semasa program ini. Pada masa yang sama, penyelia dan
petugas PD RPA Sauk II juga diberi khidmat nasihat mengenai kaedah yang sesuai
meletakkan maklumat pada sudut informasi di perpustakaan ini. Justeru itu, diharapkan agar
lawatan yang dilaksanakan dapat memberi manfaat kepada Perpustakaan Desa RPA
Sauk II ini. Semoga program CSR sebegini menjadi titik tolak ke arah membantu meningkatkan lagi perkhidmatan Perpustakaan
Desa secara keseluruhan supaya menjadi destinasi kunjungan harian masyarakat
setempat dengan menerapkan amalan 3B iaitu “Banyak baca, Bijak baca dan Baca
bersama”.
Comments
Post a Comment