Skip to main content

BAGAN DATUK BAKAL MEREALISASIKAN PERPUSTAKAAN DIGITAL



BAGAN DATUK, 21 April 2018: Bagan Datuk sekali lagi bakal melakar sejarah apabila sebuah Perpustakaan Digital pertama seumpamanya di Negara ini akan dibina menjelang 2019. YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk telah merasmikan Majlis Pecah Tanah Perpustakaan Digital Bagan Datuk dengan diiringi oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan (KPK), YB Dato' Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz dan Ketua Pengarah PNM, Dato’  Nafisah Ahmad.
Perpustakaan Digital Bagan Datuk ini merupakan inisiatif Kementerian Pelancongan dan Kebudayan melalui Perpustakaan Negara Malaysia yang berkonsepkan perpustakaan digital sepenuhnya. Kerajaan persekutuan memperuntukkan kos sebanyak RM 5.4 juta bagi projek ini dan dijadualkan akan siap dibina sepenuhnya pada tahun 2019. Pembinaan Perpustakaan Digital ini merupakan salah satu elemen di dalam kluster pendidikan Bagan Datuk dan merupakan inisiatif di dalam pembangunan Transformasi Nasional 2050 melalui Rancangan Malaysia Ke-11. Projek pembangunan Perpustakaan Digital ini seiring dengan perkembangan pesat pembangunan daerah Bagan Datuk yang sedang rancak dilaksanakan termasuklah dengan pembinaan beberapa institusi pendidikan yang bakal menyokong penubuhan Perpustakaan Digital ini.
Perpustakaan Digital Bagan Datuk bakal dibina berhampiran kawasan Bagan Datuk Waterfornt yang berkeluasan 557.4 meter persegi dengan kemudahan infrastruktur yang lengkap. Pembinaan Perpustakaan Digital ini melibatkan reka bentuk bangunan ikonik yang melambangkan intelektual, moden dan futuristik dengan menekankan kaedah Rumah Hijau yang menepati Green Building Index (GBI). Projek pembangunan Perpustakaan Digital ini akan menjadi kebanggaan negara dan bakal menjadi penanda aras kepada perpustakaan-perpustakaan negara-negara membangun. Ia juga turut menyediakan perkhidmatan digital yang berteknologi tinggi setanding dengan negara-negara maju seperti Perpustakaan Digital Korea dan Taiwan. Bangunan ikonik ini bakal menjadi salah satu lokasi terbaharu tumpuan pelancong domestik dan luar negara untuk melawat ke negeri Perak khususnya.
Projek Perpustakaan Digital Bagan Datuk ini menyediakan platform yang menggabungkan keharmonian bercirikan alam semulajadi, kemanusiaan dan maklumat. Perpustakaan Digital ini juga turut menyediakan perkhidmatan carian bersepadu kepada kandungan digital yang berkualiti dalam dan luar negara. Ini termasuklah  pelbagai variasi kandungan digital dalam bentuk e-buku, e-majalah, e-surat khabar, portal maklumat dan bahan audio-visual dalam dan luar negara. Sehingga kini, PNM sendiri telah melanggan sebanyak 17 pangkalan data yang mengandungi 18 juta bahan rujukan termasuk 4.8 juta e-buku yang boleh diakses oleh seluruh masyarakat Malaysia. Perpustakaan Digital ini turut memberi kemudahan akses kepada maklumat digital yang lebih meluas kepada masyarakat Malaysia tanpa batasan masa dan tempat (24jam/7hari)
Projek ini diyakini dapat dimanfaatkan bukan hanya kepada 70,300 penduduk daerah Bagan Datuk sendiri malah turut dapat dimanfaatkan oleh daerah-daerah berhampiran yang  menjanjikan penduduk luar bandar menikmati arus pembangunan berkaitan ekonomi dan prasarana digital.

Comments