Skip to main content

WACANA MANUSKRIP MELAYU “PANDANGAN DAN TAFSIRAN PERUBATAN MODEN TERHADAP PERUBATAN TRADISIONAL MELAYU”

Program Wacana Manuskrip Melayu “Pandangan dan Tafsiran Perubatan Moden terhadap Perubatan Tradisional Melayu” telah dilaksanakan pada 15 Mei 2018 di Bilik Serbaguna Aras 1, Bangunan Anjung Bestari, Perpustakaan Negara Malaysia. Dua orang pembentang telah dijemput untuk membicarakan berkenaan perkara ini iaitu Dr. Abdul Ghani Hussain (Herbwalk Consultancy) dan Dr. Nik Musaádah Mustapha dari Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM). 
Program berbentuk ilmiah ini diadakan untuk menarik lebih ramai lagi masyarakat dalam pelbagai peringkat umur dan bangsa untuk memahami kepentingan warisan negara kita iaitu manuskrip Melayu. Program wacana pada kali ini difokuskan kepada pandangan dan tafsiran penyelidik dan pengamal perubatan moden terhadap amalan perubatan silam. Amalan perubatan silam ini telah diamalkan oleh masyarakat Melayu suatu ketika dahulu dan telah dicatatkan dalam manuskrip Melayu. Justeru itu, Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu telah mengambil tanggungjawab ini untuk memperkenalkan sub-bidang ilmu tradisional Melayu iaitu ilmu perubatan yang terkandung dalam manuskrip Melayu koleksi Perpustakaan Negara Malaysia. Seramai 121 orang peserta telah menyertai program ini dan rata-rata peserta yang hadir amat teruja dengan penyampaian dan maklumat yang dipersembahkan oleh kedua-dua pembentang terutama apabila pembentang memaklumkan jenis-jenis penyakit, kaedah pengubatan dan herba-herba yang boleh diadaptasikan dengan ubat-ubatan moden pada masa kini.
Penemuan Khazanah perubatan Melayu tradisional tersebut menyifatkan ilmu perubatan Melayu dulu sebenarnya lebih maju daripada perubatan moden kini. Hasil kupasan wacana ini mengolah lanjut dalam memanfaatkan sumber semula jadi iaitu flora yang menjadi sumber dalam kaedah amalan perubatan tradisional Melayu. Pandangan skeptikal terhadap ilmu perubatan Melayu sebagai rawatan alternatif disangkal apabila kesinambungan perubatan tradisional dan moden memberi keseimbangan sekali gus membantu dalam meningkatkan taraf kesihatan untuk menjadi lebih baik. Nilai ilmu masyarakat Melayu dalam perubatan bukan sembarangan dan perlu dititik berat kerana kandungan berdasarkan intipati manuskrip. Penumpuan dalam usaha transliterasi dan pendokumentasian manuskrip perlu dipergiat untuk memudahkan akses kepada kandungan khazanah tersebut. Dalam masa sama, lebih banyak kerjasama disarankan dalam menjalankan kajian saintifik untuk membuktikan keberkesanan perubatan tradisional. Peribahasa Melayu tidak lapuk ditelan zaman jelas melambangkan kelestarian ilmu masyarakat Melayu dulu yang masih releven pada masa kini.




Comments