Skip to main content


SUKARELAWAN PNM DI IFTAR@KL 2018

Penganjuran Iftar@KL telah memasuki edisi ke tujuh dan menjadi acara tahunan pada bulan Ramadhan. Objektif Iftar@KL bertujuan untuk mengimarahkan dan memakmurkan bulan Ramadhan sebagai bulan beribadah serta mengeratkan hubungan antara masyarakat warga kota.

Bertempat di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, majlis berbuka puasa perdana Iftar@KL 2018 menerima kunjungan hormat daripada Timbalan Perdana Menteri , Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Majlis ini turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara, YBhg. Tan Sri Norliza Rofli selaku urusetia induk program Iftar@KL 2018; Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, YBhg. Datuk Rashidi Hasbullah; Ketua Pengarah PNM, Dato’ Nafisah Ahmad dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Tuan Fahmi Fadzil. Acara kemuncak Iftar@KL 2018 iaitu Malam 7 Likur telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dimana  pelita gergasi dan 500 pasang pelita dinyalakan sebagai simbolik menghidupkan tradisi masyarakat melayu menjelang sambutan syawal.

Perkhidmatan untuk rakyat yang dibawakan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara telah menampilkan rakan penganjur bersama terdiri daripada Perpustakaan Negara Malaysia, Puspanita MOTAC dan Jabatan Warisan Negara. Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang program ini adalah kaunter bergerak Baitulmal MAIWP, Kempen Derma Organ, Sumbangan untuk Gelandangan dan bubur lambuk Masjid Jamek Kampung Bharu. Kaunter zakat bergerak turut disediakan bagi memudahkan umat Islam menunaikan kewajipan membayar zakat fitrah Ramadhan ini.



Perpustakaan Negara menaja sebanyak 4 periuk bubur lambuk dan turut mengagihankan makanan untuk persediaan berbuka puasa kepada pengunjung. Sukarelawan Perpustakaan Negara Malaysia juga turut mengagihkan buku-buku kepada khalayak umum dalam usaha untuk mempergiat budaya membaca warga kota dan aktiviti tersebut mendapat sambutan positif dari orang ramai serta pelancong asing yang teruja menyertai Iftar@KL 2018. Pada kali ini, reruai Perpustakaan Negara Malaysia telah menerima kunjungan hormat daripada Ketua Pengarah, Dato’ Nafisah Ahmad serta Pengarah Perkhidmatan Korporat, Puan Siti Aisyah SH Kadir.



Seramai 200 sukarelawan dari rakan penganjur bersama, Universiti Malaya dan juga orang awam hadir untuk membantu membuat persiapan rapi dengan membuat agihan bubur lambuk, penyediaan makanan dan minuman untuk Majlis Berbuka Puasa. Dianggarkan seramai 5000 pengujung telah hadir terdiri daripada warga tempatan dan juga pelacong asing yang teruja dan turut serta dengan kemeriahan berbuka puasa beramai-ramai.



Comments