Skip to main content


 KEM TULISAN JAWI 2018


Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) bersama Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) dan Majlis Dakwah Negara (MDM) telah mengambil satu langkah kehadapan dengan menganjurkan Kem Tulisan Jawi 2018 pada 02 dan 03 Julai 2018 bertempat di Dewan Tun Hamdan Sheikh Tahir, Persatuan Sejarah Malaysia, Wisma Sejarah.

Kem ini telah dihadiri oleh seramai 178 orang peserta yang terdiri daripada wakil guru-guru seluruh Malaysia, persendirian dan kakitangan Perpustakaan Negara Malaysia. Kem yang berlangsung selama dua hari ini turut merangkumi kuliah, latihan amali secara hands-on berlandaskan Modul Kem Cemerlang Jawi (KCJ) yang dibangunkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Kandungan bengkel hari ini sarat dengan teknik dan panduan yang harus iikuti oleh guru dalam menyampaikan pengajaran awal Jawi kepada para pelajar. Teknik ini disusun sebegitu rapi supaya semua pelajar mendapat panduan asas yang tepat dan tidak keliru untuk memadankan huruf, menyambung, membaca dan menulis Jawi.

Objektif Kem Tulisan Jawi 2018 secara amnya ialah untuk mendedahkan peserta tentang pedagogi pembelajaran awal Jawi untuk kanak-kanak; mendedahkan peserta kepada cara penulisan dan ejaan tulisan Jawi yang menepati piawaian DBP; mendedahkan peserta kepada Modul Kem Cemerlang Jawi (KCJ) yang dibangunkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia; melahirkan masyarakat Malaysia yang celik Jawi dan Al-Quran; dan mempamerkan hasil kreatif pemenang inovasi dalam pedagogi pembelajaran awal jawi dari seluruh negara.

Majlis penutup Kem Tulisan Jawi 2018 telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Nafisah Ahmad, Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia. Intipati ucapan pada majlis penutup tersebut berkisar mengenai seruan dan jemputan aktivis penggerak tulisan jawi yang bergerak secara bersendirian untuk bersama-sama berganding bahu memperjuangkan tulisan jawi kepada anak bangsa. Kerjasama rakan strategik ini menjadi penggerak kepada perjuangan untuk mengangkat dan memartabatkan tulisan Jawi di Malaysia.

Modul Kem Cemerlang Jawi diharapkan dapat meningkatkan penguasaan dan kemahiran para guru dalam pengajaran dan pembelajaran tulisan jawi. Pameran inovasi jawi yang menampilkan pembaharuan kaedah pembelajaran jawi yang menarik dan mudah untuk dipelajari mendapat saranan Dato’ Nafisah untuk memperluaskan pendedahan inovasi kepada masyarakat secara keseluruhan. Tambahan lagi, Dato’ Nafisah turut menyatakan ketersediaan Perpustakaan Negara Malaysia untuk memberi huluran kerjasama dalam menyediakan kemudahan serta tenaga kumpulan dalam usaha meneruskan langkah-langkah pembudayaan jawi sebagai satu warisan tamadun. 

Comments